Perdana Menteri berkata, keikhlasan Kit Siang dan Dr. Mahathir boleh dipersoalkan kerana dua pemimpin politik veteran itu pernah mengecam sesama sendiri.
Menurut beliau, Dr. Mahathir pernah secara terbuka menuduh Kit Siang sebagai seorang pe­mimpin rasis yang anti-Melayu dan anti-Islam.
“Kit Siang pula kata Dr. Mahathir seorang diktator, banyak lagi yang dia kata, kronilah.
“Pada saya, inilah politik hipokrit tahap tertinggi, mana boleh kita percaya pakatan politik yang berdasarkan kepada hipokrasi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Kali Ke-63 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyindir Pakatan Harapan yang diketuai DAP kerana sering melakukan pusingan U dengan mengubah dasar-dasar yang diputuskan.
“Berapa kali buat pusingan U ini saya pun tak tahu, saya tak dapat kira lagi,” jelasnya.
Beliau menambah, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat malah, menunjukkan pakatan harapan yang diketuai DAP itu sendiri keliru dan tiada hala tuju.
Sementara itu, Perdana Menteri mendedahkan, beliau pernah menolak cadangan Dr. Mahathir untuk membina terusan yang menghubungkan Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur.
Beliau memberitahu, cada­ngan itu sukar diterima kerana kaedah pengangkutan itu hanya digunakan pada zaman pertengahan serta boleh menimbulkan isu alam sekitar yang serius.
“Itu yang Dr. Mahathir mahu kerana beliau yakin ia yang terbaik untuk negara ini sedangkan pada zaman moden, kita mahu bina lebuh raya dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR),” katanya.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya negara ini mengalami kegagalan ekonomi berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) Jumaat lalu.
“Apa yang berlaku adalah di luar kawalan kita dan pasaran menjadi tidak menentu kerana Presiden AS yang baharu, Donald Trump belum menetapkan dasar ekonominya,” jelasnya.
Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menstabilkan nilai ringgit manakala senario serupa juga berlaku di negara-negara membangun yang lain.