Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, perkara seperti ini sudah biasa berlaku dalam parti dan dianggap normal.
Katanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, tiada apa yang perlu dibimbangkan setakat ini kerana pemecatan dan penggantungan ahli-ahli UMNO bukan satu perkara baharu, malah sudah terdapat dalam perlembagaan parti.
“Ini hanya perkara bersifat sementara. Lama-lama nanti, mereka (penyokong) akan sedar dan kembali kepada perjuangan parti. Yang penting adalah kerajaan dan parti dapat dipertahankan.
“Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah merupakan dua daripada beberapa individu yang pernah digantung keahliannya dalam UMNO, namun, perjuangan parti tetap diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ibu pejabat Pembangunan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di sini hari ini.
Pada 24 Jun lalu, Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada UMNO sementara Mohd. Shafie digantung keahlian daripada parti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO
Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, keputusan itu dibuat ekoran tindakan Muh­yiddin dan Mukhriz melanggar disiplin parti.
Tambah Mohd. Ali yang juga Pengerusi PUNB, ahli-ahli UMNO juga tidak perlu mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT).
Hal ini katanya, MT tidak mahu terus menyimpan golongan ‘gunting dalam lipatan’ yang hanya menjejaskan perjalanan parti.
Mengulas mengenai Mohd. Shafie yang digantung keahliannya dan mendapat bantahan daripada penyokongnya, Mohd. Ali berkata, Mohd. Shafie perlu turun padang dan menasihatkan para penyokongnya supaya terus bertenang.
Katanya, Mohd. Shafie masih mempunyai masa untuk berubah, memperbaiki diri dan kembali kepada perjuangan asal parti.
“Saya percaya, kalau Mohd. Shafie benar-benar mahu memperbaiki diri, dia akan diterima semula dalam parti,” ujarnya.