Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-62 di sini hari ini, beliau menyeru semua pihak meninggalkan budaya politik warisan penjajah Barat yang jauh daripada prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu, halal - haram, apatah lagi seolah-olah amalan terbaik berpolitik adalah tiada kaitan dengan dosa dan pahala.
Beliau berkata, ahli Pas juga perlu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan penyelesaian, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu atau perkara yang diangkat sama ada di peringkat lokal atau nasional.
“Laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan.
“Kalau pemimpin yang pa­ling kejam dalam dunia (Firaun) Allah menyuruh Nabi Musa dan Nabi Harun berlembut, pemim­pin-pemimpin yang lain tak sampai ke taraf Firaun, mengapa kita berkeras dengan mereka, ini adab yang diunjurkan oleh Allah.
“Imej ini mesti dibawa oleh pemimpin Pas di semua pering­kat, ceramah, kuliah, sidang akhbar, ucapan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendak­lah berlandaskan ilmu,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, orientasi Pas kini perlu berbeza bagi mempersiapkan diri sebagai pemerintah untuk menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan menanti.

Video oleh WAHIDIN SALIM
“Bukan lagi sekadar membangkang tetapi mengemukakan penyelesaian berasaskan cara dan kaedah penyelesaian Islam terhadap kepincangan yang berlaku sama ada dalam urusan ekonomi mahupun politik dan sosial,” katanya.
Katanya, malang sekali, di negara ini, sejak sebelum merdeka sehingga sekarang, budaya berpolitik negatif tersebut diteruskan oleh keseluruhan parti yang tidak berteraskan perjuangan Islam.
Tambahnya, rakyat dan negara ini mahupun dunia memerlukan kepada budaya politik baharu yang membawa seluruh rakyat bersama membangunkan negara dan berharmoni.
“Penyelesaiannya ialah politik Islam yang bersifat bijaksana, matang dan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat.
“Pas sebagai sebuah parti Islam, bersedia untuk membawa pendekatan politik positif ini ke pentas utama dalam budaya berpolitik negara di bawah jenama budaya politik matang dan sejahtera.
“Budaya ini menuntut sikap dan tindakan Pas yang sentiasa disertakan dengan penjelasan yang rasional, berdasarkan prinsip yang jelas,” katanya.