Perdana Menteri berkata, amalan politik yang bermoral dan berprinsip perlu dipertahankan dalam menempuh pelbagai cabaran daripada pihak tertentu yang cuba menghancurkan negara ini.
Katanya, amalan politik songsang yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan seperti yang diamalkan sesetengah pemimpin hanya akan membawa kerosakan dan kehancuran kepada negara ini.
“Dalam politik kita mesti ada moral dan prinsip. Kalau buat apa-apa pun mesti berpegang Perlembagaan negara kalau tidak negara akan huru-hara.
“Kalau huru-hara apa yang kita perjuangkan sekarang hancur lebur, apa nak ditinggalkan untuk anak-anak dan cucu-cucu kita, kita mesti mewariskan kepada mereka sebuah negara yang lebih kukuh.
“Kalau ada kesilapan kita betulkan sesama kita, jangan menghancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayang, kalau parti hancur tiada lagi perjuangan sebab itu kita mesti kasih parti, kasih negara,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Perhimpunan Ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan Pelancaran Waris PBAKM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Penasihat PBAKM, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Presiden PBAKM, Datuk Melati Ali.
Sementara itu, beliau yang dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin itu yang selama ini dipertahankan, kini sanggup mengkhianati UMNO dan duduk bersama pemimpin pembangkang untuk menghancurkan parti.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya menunjukkan taat setia kepada UMNO kerana selama ini UMNO telah mempertahankannya ketika digelar perompak, Firaun dan zalim oleh pakatan pembangkang.
“Bukan macam sesetengah orang dulu cakap lain, dulu suruh sokong parti, waktu kita jadi pemimpin orang lain sokong, kalau berhenti kita wajib sokong parti.
“Di mana duduk orang itu sekarang, dia tidak duduk sebaris dengan UMNO lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia pada perjuangan, dia duduk dengan orang yang dia cakap rasis, cauvinis, anti-Islam, anti-Melayu.
“Kita pertahankan dia selama 22 tahun, orang kata maha zalim, maha-Firaun dan ketua perompak, sekarang duduk sebaris, di mana letak maruah diri, kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya ada maruah diri,” tegas beliau.