Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kenyataannya terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanyalah untuk mempertahankan institusi raja berperlembagaan supaya terus dipandang mulia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, kenyataannya bermaksud jika institusi raja mencampuri urusan politik negara, institusi yang mulia itu akan dihentam oleh masyarakat selain boleh menimbulkan salah faham.

"Kita tidak mahu Raja-Raja Melayu dihentam oleh mana-mana pihak, sebab itu saya kata Raja jangan campur dalam urusan politik sebab nanti orang akan 'whack'
(hentam), itu maksud saya," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail telah memuat naik komen pada status di laman Facebook Johor Southern Tigers berhubung dialog 'Nothing2Hide' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas faktor keselamatan.

Mohamed Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata, beliau masih menghormati sistem raja berperlembagaan yang telah sebati di dalam hatinya sejak
sekian lama dan masih mempunyai pegangan agama yang kuat. - Bernama