Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang laluan masuk ke Felda berkenaan mendapati permukaan jalan bertukar warna kemerah-merahan, berdebu, kotor dan menjejaskan kualiti penglihatan akibat pergerakan keluar masuk treler terbabit.
Menurut seorang penduduk, Awang Abd. Rahman, 55, keadaan jalan dari persimpangan Tanjung Pasir hingga ke tanah rancangan berkenaan semakin terjejas sejak sebulan lalu apabila kerja-kerja pengeluaran bauksit giat dilakukan.
“Kita akui masing-masing ghairah mengeluarkan sumber mineral itu sehingga mengabaikan kepentingan kepada alam sekitar.
“Sepatutnya pihak kontraktor atau pemilik lori perlu mewujudkan satu sistem khas dengan membina kolam air bagi membersihkan treler yang membawa bauksit sebelum keluar dan lalu di jalan utama.
“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia bukan sahaja menjejaskan pandangan, mengotorkan kenderaan penduduk malah akan menjejaskan kesihatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Bagi seorang suri rumah, Kasmah Abdullah, 35, dia bimbang kehadiran treler di dalam kawasan perumahan kerana bukan sahaja menjejaskan permukaan jalan tetapi mendatangkan bahaya terutama kepada kanak-kanak.
“Bayangkan lori besar masuk ke kawasan perumahan. Saya bimbang keselamatan anak-anak. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakan kenderaan berkenaan atau menetapkan waktu tertentu bagi memudahkan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, seorang peneroka, Adam Yatmin, 65, hairan apabila tiada langsung penguatkuasaan seolah-olah tidak ada syarat yang ditetapkan kerajaan negeri dalam kegiatan pengambilan bauksit di kawasan ini.
“Minggu lepas terdapat dua kematian membabitkan kemalangan antara lori yang membawa bauksit ini dengan motosikal. Inilah yang membimbangkan kami.
“Bukan sahaja jalan kotor. Nyawa juga terancam. Sekarang musim hujan pun jalan sudah semakin teruk, tunggu nanti musim panas, pastinya berdebu," katanya.
Sependapat dengan Adam, isteri­nya, Kalsom Zahari, 56, berharap pihak berkuasa segera bertindak tegas sebelum keadaan jalan di perkampungan itu menjadi seperti yang berlaku di sekitar Pelabuhan Kuantan.