PUTRAJAYA, 6 April:
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berhubung tuduhan mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan isu National Feedlot Corporation (NFC).
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima anggota memutuskan, Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan Mohd Rafizi, kerana kes itu berasal dari Mahkamah Sesyen.
Dengan keputusan itu, Mohd Rafizi perlu menghadapi perbicaran di Mahkamah Sesyen, bagi tuduhan melanggar Akta Perbankan dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia), kerana mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan isu NFC.
Md Raus menetapkan esok sebagai tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Md Raus bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.
Mohd Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Mei 2013 yang menolak permohonannya untuk mengetepikan tuduhan tersebut, dengan alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.
Pada 10 September 2012, Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuduhan tersebut.
Beliau mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Rayuan, selepas permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 November 2012.
Terdahulu, ketika membantah rayuan Mohd Rafizi, Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah berkata, kes itu tidak boleh dibicarakan Mahkamah Persekutuan, kerana ia berasal dari Mahkamah Sesyen.
“Perkara ini berasal dari Mahkamah Sesyen, maka, ia perlu berakhir di Mahkamah Rayuan dan tidak boleh melampauinya,” kata beliau.
Pada Ogos 2012, Mohd Rafizi, 38, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas tuduhan mendedahkan empat dokumen profil pelanggan Public Bank mengenai ringkasan imbangan NFC, National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.
Beliau didakwa mendedahkan dokumen itu kepada perunding media, Yusuf Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Mohd Rafizi hadir di mahkamah hari ini dengan diwakili peguam, Latheefa Koya.